Batrisya.
Gadis pujaan para teruna. Jika ada kata-kata untuk menggambarkan
kecantikan dan keayuannya, pasti bait-bait ini menjadi pilihan. Wajahnya
sebujur sirih, alis matanya lentik, pipinya bak pauh dilayang,
bibirnya merah delima, rambutnya hitam ikal mayang
Siapa tidak
kenal Batrisya? Pujaan jejaka dari kampung hulu hinggalah ke kampung
seberang. Ada yang sanggup merantau dari bandar ke pekan hanya
semata-mata untuk menyaksikan sendiri keindahan dan kecantikan Batrisya
yang sering menjadi topik perbualan hangat setiap jejaka yang telah
terkena panahan matanya. Mata yang sering kali melemparkan kerlingan
manja sehingga mamak yang tengah buat roti canai pun boleh tersalah
menu.
" Assalamualaikum"
Lontaran suara yang matang
tersebut segera menarik perhatian Batrisya untuk melihat pemiliknya.
Dia segera membetulkan rambutnya yang dibiarkan lepas separas bahu.
"Waalaikumsalam"
Jawapan
yang sememangnya dinantikan oleh jejaka yang sedari tadi tercegat di
atas tangga rumahnya. Tersentak jejaka tersebut apabila terlihat
olehnya akan susuk yang begitu indah lagi menawan. Di dalam hati
kecilnya berbisik
" Alangkah manisnya jika susuk yang indah ini dipelihara daripada pandangan ajnabinya"
" Astarghfirullahalazim.... apa yang aku fikir ni?" Jejaka tersebut
beristighfar panjang. Betapa dia tadi telah tergoda oleh jelingan mata tersebut yang hanya merupakan
panahan syaitan semata-mata. Dia segera menundukkan pandangannya. Dengan nada yang agak tegas dia pun bersuara.
" Ustaz Jamil ada?"
Dengan
suara yang sengaja dilembutkan, Batrisya menjawab persoalan tersebut
sambil matanya cuba menangkap pandangan jejaka tampan yang sedang
berdiri di hadapannya.
" Ayah tidak ada di rumah. Dia baru saja ke masjid. Ada urusan di sana. Masuklah dahulu"
Urusan
yang sememangnya dia sendiri tidak pasti kerana dia sendiri pun sudah
tidak ingat bila kali terakhir dia menjejakkan kaki ke masjid yang
hanya beberapa minit sahaja jauhnya dari rumahnya.
" Masuk? Ah! Tidak mungkinlah! Tidak mungkin aku menceroboh masuk ke dalam rumah seorang wanita yang haram bagiku" bisik hati kecilnya dengan penuh ketegasan.
" Tidak mengapa. Kalau sudah begitu, saya akan ke masjid sahaja. Terima kasih"
dia segera berlalu pergi tanpa menghiraukan Batrisya yang masih memerhatikan setiap langkah kakinya.
Selama
ini, tidak ada seorang jejaka di kampung tersebut yang mampu memiliki
cinta Batrisya. Biar diberikan tanah sedunia dan selautan emas
sekalipun, Batrisya
tidak mudah menyerahkan cintanya
kepada mana-mana jejaka yang cuba memilikinya. Sudah hampir sekampung
pinangan datang kepadanya, namun tidak ada satu pun yang menarik
perhatiannya. Dia lebih selesa hidup membujang dan membuat lelaki-lelaki
tersebut mabuk kepayang dan sakit rindu kerana terlalu ingin
memilikinya. Dia berasa bangga apabila dipuja sebegitu.
Tetapi,
sejak kemunculan jejaka tersebut yang tiba bagai angin lalu pada hari
itu, Batrisya menjadi tidak keruan. Tidurnya sekejap ke kiri,sekejap ke
kanan. Makannya tidak pernah kenyang dan perubahan pada puteri tunggal
kesayangannya itu memang ketara sekali pada pandangan mata Ustaz
Jamil.
Pada suatu malam yang sepi, setelah selesai solat berjemaah
di masjid,Ustaz Jamil segera pulang ke rumah. Pada kebiasaannya, dia
akan terus duduk di masjid sehingga larut malam sambil membincangkan
urusan-urusan di kampung yang sudah sememangnya menjadi tanggungjawabnya
sebagai ketua kampung. Tidak lupa juga dia memberi tazkirah pendek
buat
santapan rohani setiap jiwa yang hadir untuk
solat berjemaah. Tetapi, perasaannya kali ini tidak enak. Perubahan
sikap Batrisya sangat merisaukan baginya. Dia melangkah pantas meredah
angin malam.
Setibanya di rumah, dilihatnya Batrisya duduk
termenung di tepi tangga. Hampir setiap malam Batrisya duduk di situ
sambil memerhatikan bulan yang sememangnya pada waktu itu sedang
mengambang penuh. Perlahan-lahan Ustaz Jamil menghampiri puteri
kesayangannya itu.
Sejak pemergian isteri tercinta, Batrisya, yang
selalu menjadi peneman dan penghibur Ustaz Kamil. Sungguh kasihnya dia
pada Batrisya sehingga dia tidak pernah sanggup untuk menjentik anak
itu walau sekalipun. Kedegilan Batrisya ketika diajak menunaikan solat
juga tidak mampu ditanganinya.
Ustaz Jamil sedar, sebagai seorang bapa, betapa dia telah
gagal mendidik
anaknya menjadi wanita solehah sesuai pesanan arwah isterinya, dan
kerana itulah dia menangis dan meratap sedih setiap kali dirinya datang
"mengahadap"
Allah. Bukan dia tidak mahu anaknya menjadi seorang mujahidah, dia cuma
terlalu sayangkan Batrisya sehingga sebesar apapun kesalahannya, Ustaz
Jamil tidak sedikitpun memarahi Batrisya. Walaupun begitu, setiap
malam, Ustaz Jamil akan memberikan peringatan dan menceritakan pelbagai
kisah Ummul Mukminin buat Batrisya kerana Batrisya sangat suka akannya.
Dan
seperti biasa, pada malam itu, Ustaz Jamil berhajat untuk meneruskan
ceritanya yang masih bersisa semalam. Dia duduk di sisi Batrisya
kemudian menatap wajah ayu persis isterinya itu. Dia tersenyum sendiri
terkenangkan saat dia dan isterinya duduk di tangga itu 10 tahun yang
lalu. Tidak ubah seperti hari ini. Sungguhpun bertahun dia menanggung
derita atas pemergian ratunya, dia tetap bersyukur kerana Allah masih
menyayanginya dengan mengurniakan
sebutir permata yang baginya begitu indah dan berharga.
" Abah, bulan itu cantik kan?" bisik Batrisya perlahan sambil matanya masih memerhatikan bulan yang nun jauh di sana. Tidak berkelip sedikitpun.
Ustaz
Jamil segera mengalihkan pandangannya ke arah bulan tersebut. Lama dia
berfikir sambil menatap bulan tersebut. Setelah hampir sepuluh minit,
Ustaz Jamil pun bersuara.
"Cantik, nak. Bila bulan mengambang
penuh macam ni, lagi cantik. Cuba lihat pula pada bintang-bintang yang
mengelilingi bulan itu. Bintang pun tak kurang cantiknya. Tanpa
bintang-bintang tu, bulan takkan tampak secantik dan semegah itu"
Ustaz
Jamil mengatur ayat-ayatnya lagi. Malam ini, dia berhasrat untuk
menyampaikan sebuah berita besar buat Batrisya. Berita yang dia sendiri
pun tidak tahu akan penerimaannya nanti. Dia bersuara lagi.
"Batrisya...Bulan yang mengambang penuh dan cantik tu samalah seperti kaum wanita yang telah diciptakan oleh Allah di muka bumi ni.
Diciptakan dengan fizikalnya yang menarik dan memang indah pada
pandangan lelaki. Tetapi, setakat itu sajalah cantiknya. Sama seperti
bulan tanpa cahaya bintang. Tidak akan jadi seindah bulan pada malam
ini.
Tapi, bulan pada malam ni, dipagari dan dikelilingi oleh bintang-bintang yang gemerlapan sinarnya, tidak ubah seperti wanita-wanita yang menutup segala anugerah Allah itu dengan pakaian yang sepatutnya, yakni pakaian yang menutup aurat. Tidak ketat, tidak nipis, tidak jarang, tidak pula terlalu terang sehingga menarik perhatian mata-mata yang memandang. Wanita-wanita seperti itulah yang paling cantik Batrisya. Seperti cantiknya bulan yang dipagari bintang"
Hati
kecil Batrisya tiba-tiba tersentuh apabila mendengarkan kata-kata
ayahnya yang penuh bermakna itu. Dia cuba mencernanya perlahan-lahan
dan kemudian menatap mata ayahnya dalam-dalam. Kemudian merenung semula
ke arah bulan tersebut.
"Batrisya, abah ada sesuatu nak
beritahu ini. Hari tu, waktu abah masih di masjid, ada pemuda datang
jumpa abah. Taufik namanya. Budak itu baik orangnya, nak. Dari gaya dan
cara dia membawa diri, abah tahu dia seorang pemuda yang soleh. Dah
beberapa hari ni abah perhatikan dia. Solat jemaah di masjid tak pernah
tinggal. Rajin pulak membantu orang-orang kampung membersihkan masjid
tu. Hari tu, ayah terdengar dia bertarannum di masjid. Bagus sekali,
nak. Orangnya sopan dan lemah lembut. Kalau boleh"
Belum sempat pun Ustaz Jamil menghabiskan ayatnya, Batrisya sudah mula memotong.
"Apa
dia abah? Abah nak jadikan dia menantu abah ke? Abah, cuba abah fikir
baik-baik. Layak ke perempuan macam Batrisya ini jadi pendamping lelaki
soleh macam dia, abah? Solat pun sekali-sekala. Al-quran? Tak usahlah
abah cerita. Dah bertahun agaknya Batrisya tak baca. Dah tak tahu kat
mana Batrisya simpan. Pakai tudung pun tidak. Menutup aurat? Jauh
sekali. Layak ke Batrisya untuk orang macam itu, abah?"
Dengan
nada keras dan linangan air mata, Batrisya mengucapkan kata-kata
tersebut. Dia sedih apabila mengenangkan segala kelemahan dan keburukan
dirinya. Sedih apabila mengenangkan dirinya yang tidak pernah
sekalipun
"bertemu" Allah dalam tahun itu. Sedih
apabila mengenangkan segala-galanya, tentang dirinya. Sungguh telah lama
dia tersesat dan menjadi seorang pendosa. Cerita ayahnya mengenai
bulan dan wanita menambahkan lagi kesedihannya.
Sungguh selama ini dia telah membiarkan dirinya menjadi mangsa pandangan mata-mata yang dipenuhi
penyakit zina itu. Sungguh dia selama ini membiarkan susuknya yang menawan menjadi santapan bagi
penagih-penagih cintanya.
Terlalu banyak dosanya sehingga tidak terhitung lagi. Bukan dia tidak
mahu berubah. Dia cuma takut akan pandangan orang-orang kampung
terhadapnya nanti. Apa kata orang kampung andainya Batrisya yang selama
ini dipuja-puja atas kecantikan dan keayuannya menutup semua anugerah
itu dengan pakaian yang akan menghalang setiap mata yang cuba
menembusinya? Dia cuma terlalu malu dan takut untuk berubah.
Taufik
pula.Jejaka yang jauh sekali tinggi darjatnya berbanding dirinya yang
lemas dibelenggu kesesatan yang dia ciptakan sendiri. Tidak perlu
baginya untuk menemui dan mengenali Taufik sendiri. Dari cerita ayahnya
sahaja dia sudah tahu betapa berbezanya dia dengan Taufik.
Bagai langit dan bumi.
Jejaka yang soleh seperti Taufik sesuaikah menjadi teman hidup seorang
pendosa sepertinya? Dia tidak pernah lupa akan janji Allah buat seluruh
umat manusia yang selalu disebut-sebutkan oleh ayahnya.
"Dan
wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki
yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik(pula)" (an-Nur 24:26)
Taufik
sudah pastinya seorang lelaki yang baik. Tapi, dirinya? Siapa dirinya?
Dia hanya seorang perempuan yang dia kira selayaknya menjadi milik
lelaki-lelaki yang seringkali memuja dirinya kerana kecantikan yang dia
tonjolkan jauh panggang dari api! Tidak mungkin lelaki seperti itu
mahu, andainya wanita sepertinya menjadi suri hidup mereka.
Hanya
akan memburukkan nama dan menjatuhkan maruah sahaja. Batrisya masih
mendiamkan diri dengan deraian air mata. Menyesali segala kesilapan dan
dosanya terhadap Yang Maha Esa. Dosanya terhadap Sang Pencipta yang
telah mengurniakan dirinya dengan anugerah yang menjadi igauan
wanita-wanita lain di kampung itu.
Kecantikan. Itulah
anugerah milik Allah yang selama ini telah dia cabuli dengan
menonjolkannya buat tatapan lelaki lain selain lelaki yang selayaknya.
Tidak lain tidak bukan,
Suaminya.
"Ya Allah. Hamba berdosa pada-Mu. Masihkah lagi ada ruang di sisi-Mu buat hamba yang hina dan jijik ini?" ratap Batrisya tanpa menyedari bahawa Ustaz Jamil masih lagi ada di sisinya.
Batrisya
sudah tidak kuasa untuk menatap bulan itu lagi. Setiap kali memandang
bulan tersebut, dia akan merasa betapa ruginya dia sebagai seorang
wanita yang telah menjual harga dirinya. Dia bangun perlahan-lahan lalu
menaiki tangga rumahnya satu-persatu. Tiba-tiba, langkah lemahnya
terhenti. Ustaz Jamil menarik lembut tangan mulus anaknya itu.
" Duduk sekejap,nak. Abah belum habis cerita lagi" lembut tuturan Ustaz Jamil.
Batrisya segera melabuhkan punggungnya di atas tangga itu semula. Dia masih mendiamkan diri.
" Batrisya. Semalam Taufik datang jumpa Abah. Dia cakap" kata-kata Ustaz Jamil terhenti di situ seketika. Gugup juga untuk meneruskan ayatnya.
"Dia nak ambil Batrisya menjadi isterinya"
Batrisya yang sedari tadi mendiamkan diri terkejut. Mungkinkah dia tersalah dengar? Ah! Tak mungkin!
"
Dia nak Batrisya menjadi suri hidupnya. Dia nak Batrisya jadi makmum
yang akan dia imamkan di setiap solatnya. Dia nak Batrisya menjadi ibu
kepada anak-anak yang bakal dia azankan nanti. Dia nak Batrisya jadi
isteri yang akan dia bimbing dalam mengejar redha Ilahi"
Mengalir
deras air mata Batrisya mendengar kata-kata lelaki separuh abad yang
berada di depannya itu. Sungguh tidak pernah dia menyangka bahawa
jejaka seperti itu akan memilih wanita sepertinya.
"Tapi, Abah, Batrisya tak"
Dia tidak segera menghabiskan kata-katanya. Pasti ayahnya sudah tahu apa yang bakal dia katakan.
"
Jangan begitu, nak Dia ikhlas. Dia terima Batrisya seadanya. Abah tahu
dia akan pimpin kau dengan baik, nak. Abah yakin pada dia. Jangan kau
tolak lamarannya hanya kerana kau fikir kau tidak layak buatnya. Kerana
kelemahanmu itulah kau perlukan pemimpin sepertinya. Percaya cakap
abah, nak. Jangan sampai kau menyesal di kemudian hari"
Ustaz
Jamil mematikan kata-katanyanya di situ. Kini, segalanya ada di tangan
Batrisya. Tidak pula dia ingin memaksa Batrisya. Dia ingin Batrisya
bahagia.
Merah pipi mulus Batrisya apabila Taufik memberikan
kucupan hangat di dahinya pada hari mereka diijabkabulkan. Sungguh
tidak dia sangka lelaki yg baru dia temui sekali, kini sudah sah
menjadi suaminya. Pada saat itu juga, Batrisya merasakan cinta yang
begitu besar lahir dari hatinya. Tulus dan suci buat Taufik
satu-satunya.
Di dalam hati dia mengucapkan syukur yang tidak
terkira tingginya ke hadrat Ilahi kerana menghadirkan seorang insan
mulia dalam kehidupannya. Semoga dengan kehadiran lelaki mulia yang
kini bergelar suaminya, mereka sama-sama dapat
menjejak dan mencari cinta yang paling agung itu. Cinta yang tidak ada tandingnya.
Cinta Ilahi.
Di dalam hati kecilnya berbisik.
"Kaulah
kebahagiaanku ketika di dunia. Kau jugalah kebahagiaanku nanti di
sana. Redhakanlah aku menjadi isterimu. Agar kita dapat bertemu dan
bercinta semula di syurga." Mengalir air mata kasihnya tatkala merenung cincin di jari manis yang menjadi tanda ikatan cinta mereka berdua